03 August 2012

Hidayah Allah itu Pelik

Teneneow HANA QASRINA HANIM at 20:42 0 comments
Astaghfirullahalazim (Aku mohon ampun pada Allah yang maha agung).

Sudahkah kita beristighfar hari ini? Sudahkah kita memohon ampun pada Allah hari ini?

"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua ibu bapa kami dan rahmatilah mereka sepertimana mereka menjaga kami sejak kecil."

Bersyukur kita hari ini, kerana telah dikurniakan oleh Allah Islam sejak lahir. Beruntungnya kita yang lahir dalam Islam. Agama Allah yang benar. Kerana hanya orang yang terpilih sahaja akan mendapat hidayahNya. Tapi kenapa kita ingkar arahanNya.? Kenapa kita tidak mengikut syariat Allah dan RasulNya? Di mana silap kita?

Maka yang mana satu nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan? (Ar-Rahman: 13)

Hidayah Allah itu pelik. Hidayah Allah tak akan datang bergolek. Sedangkan kita yang lahir dari Islam lagikan terpesong, apatah lagi manusia-manusia yang lain. Lahir dari Islam tidak menjaminkan kita syurga sekiranya kita tidak beriman dengan Allah. Hidayah Allah itu perlu dicari, bukan datang sendiri. Rasullah mempunyai syafaatnya sendiri, tetapi baginda tetap tidak mampu memberi hidayah kepada orang lain. Pelik kan hidayah Allah?

Rasulullah bersusah payah menyebarkan Islam kepada seluruh alam, akan tetapi hanya Allah yang berhak memberi hidayah kepada hambaNya. Bahkan orang-orang yang pailng dekat dengan Rasulullah sendiri tidak memeluk Islam. Bapa saudara baginda, ; Abu Lahab, Abu Jahal, Abu Mutalib. Mereka semua tidak mahu menerima Islam. Siapa kita hendak menolak agama Allah ini? Sedangkan hidayah sudah ada pada kita.

Maka yang mana satu nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan? (Ar-Rahman: 16)

Zikirullah, mudah-mudahan Allah memberi pengampunan kepada kita. SesungguuhNya Dia maha pengampun lagi maha penyayang. Ketahuilah sayang Allah pada hambaNya melebihi kasih seorang ibu pada anaknya. Jika kita derhaka pada ibu kita, pasti ibu sedih. Apatah lagi Allah, pencipta kita. Tuhan yang patut kita sembah. Bertaubatlah, masih belum terlambat untuk kita memohon ampun dengan Allah. Dia sentiasa menunggu kita merintih dan meminta denganNya. Allah itu lemah lembut sifatnya. Dia akan memaafkan hambaNya yang memohon keampunan. Selagi pintu taubat masih terbuka.

Hidayah itu adalah mengetahui kebenaran dan mengikuti kebenaran. Allah akan memberi hidayah pada orang yang Dia kehendaki, iaitu yang mengetahui serta mengikut kebenaran. Kita semua sudah mengetahui kebenaran, maka ikutlah kebenaran. Hidup berlandaskan Islam itu indah. Tiada yang lebih bahagia apabila kita mencintai Allah dan RasulNya.

Kita bukanlah insan yang belum mendapat hidayah, kerana kita sudah sedia Islam dari segi zahir dan batin. Tapi kita perlu berusaha untuk mengekalkan hidayah itu. Antara cara-caranya ialah dengan tawaddu' (merendah diri). Sentiasa merasa diri kita kecil dan bukan riak serta sombong di atas muka bumi Allah ini. Bersyukur dengan nikmat Allah yang dipinjamkan kepada kita buat sementara sebelum kita ke alam yang nyata (akhirat). Dan yang kedua, kita perlu sentiasa berdoa meminta hidayah. Sentiasa memohon supaya Allah mengekalkan hidayahNya dan meningkatkan keimanan kita. Semoga kita ditetapkan oleh Allah dengan iman yang kuat.


Maka yang mana satu nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan? (Ar-Rahman: 18)

Ke mana kita mahu pergi? Di mana hala tuju kita? Kembalilah kepada Allah. itu yang terbaik! Subhanallah, begitu hebatnya tuhan yang menciptakan kita. Memberikan kita kehidupan yang aman di muka bumi ini, maka yang mana satu nikmat Tuhanmu yang kamu ingin dustakan? Tubuh kamu, keluarga kamu, rumah kamu, pakaian kamu, makanan kamu. Itu semua nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Tidakkah kita patut bersyukur dan ucapkan Alhamdulillah? Jika kita rasa susah, ingatlah ada orang lain yang jauh lebih susah dari kita. Berterima kasihlah pada Allah kerana memberikan kita pakaian yang elok-elok untuk dipakai, makanan yang sedap-sedap untuk dimakan. Allahuakbar! Allah itu maha besar. Jika Dia mahu menarik semua itu dari kita, "Kun fayakun" (Jadilah, maka jadilah ia ; Al-Baqarah : 117).

Ikutlah kebenaran dan serulah kepada kebenaran. Nescaya Allah akan memberikan hidayah (petunjuk) yang benar kepada kita. Sesungguhnya yang baik itu semua datang dari Allah, dan yang buruk itu daripada diri kita sendiri. Semoga Allah redha. :)





 

apabila gadis periang berbicara Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Emocutez