"Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan."
-Hadis riwayat al-Baihaqi r.a. daripada Rasulullah SAW.
Kebahagiaan yang dikecapi oleh manusia yang terbit dari hati nurani tidak dapat diluahkan jika hidup bersendirian tetapi harus dikongsi bersama pasangan masing-masing yang hak mengikut lunas-lunas peraturan tertentu. Justeru itulah Allah menjadikan makhluk-makhluk khususnya insan ini, fitrahnya suka kepada ketenangan atau sakinah dengan kehidupan beristeri atau bersuami dan seterusnya bekeluarga. Hidup berkeluarga ini pada dasarnya lebih berkat, tenteram dan teratur berbanding hidup berseorangan, membujang atau menyendiri.
Baik ke buruk nikah ni? |
Setiap orang ada pandangan masing-masing dalam soal agama mahupun dunia. Semua orang tak terlepas dari pentingkan mementingkan diri. Individu itu sendiri ada pandangan yang kita tak boleh menolaknya seratus peratus. Masing-masing ada hak nak meyuarakan pendapat, cuma yang baik kita simpan dan yang kurang baik dijadikan sempadan. Kita pun belum cukup sempurna untuk menyangkal fakta yang sedia ada. Yang boleh kita cuba buat, yang tak boleh kita cuba tinggalkan.
Senyum.
Rata-rata gadis sekarang sedang rancak membicarakan soal perkahwinan. Yang setuju, dengan hadis serta sebabnya. Manakala yang kurang setuju, dengan pelbagai alasannya. Itu lah manusia, kalau semua mempunyai pendapat yang sama, maka tidak berwarna lah dunia kita. Matlamat memang serupa, iaitu mahukan yang terbaik sampai ke syurga. Namun sejauh manakah pemikiran anak-anak muda? Setiap dari kita mempunyai tahap pemikiran yang berbeza, umur bukan ukuran untuk menentukan seseorang itu sudah dewasa. :)
Berbalik kepada hadis di atas, 'Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan.' Apa yang boleh kita simpulkan daripada hadis ini ialah, tidak semestinya seseorang itu perlu sempurna agamanya barulah dia boleh mendirikan baitul muslim. Sesungguhnya manusia ini mempunyai kelemahan, dan kita dijadikan hidup berpasangan untuk saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Setelah seseorang itu mendirikan masjid, sudah tentunya dia akan memikul suatu tanggungjawab yang besar dan sekaligus mendorong untuk melakukan kepada jalan kebaikan. Hal ini bertepatan dengan hadis tersebut yang menyatakan, selesaikanlah tanggungjawab seterusnya setelah kamu berkahwin.
Apabila ditanya, semua orang mahukan pasangan yang soleh dan solehah, tetapi belum menyedari yang hakikat di dunia ini tak semuanya indah. Soleh dan solehah tidak boleh diukur hanya berdasarkan luarannya, tetapi dalamannya juga. Dan memang tidak dapat disangkal lagi manusia di muka bumi ini kebanyakannya suka mengadili seseorang itu berdasarkan personalitinya. Terpulanglah kepada diri masing-masing. Setiap insan boleh berubah, dan mereka memerlukan bimbingan dari orang yang sebetulnya. Bukan tugas kita untuk menghukum mereka yang tersesat, tapi hak kita untuk membawa mereka kepada jalan yang benar. InsyaAllah.
Usah diendah apa yang bakal dikata oleh mereka-mereka yang tidak punya ilmu di dada. Apa kamu melebihkan adat dari syariat? Apa kamu pentingkan dunia dari syurga? Tepuk dada tanya minda. Sesungguhnya wanita itu sendiri mempunyai nilai yang tinggi harganya. Bukan pada mas kahwinnya, bukan pada hantarannya, tapi pada barakahnya cinta dia kepada Tuhannya. Lelaki juga tidak kurang istimewanya. Yang dianugerahkan takhta untuk memerintah seluruh isi dunia. Berhenti seketika, apa ujianNya itu membuatkan kamu susah untuk meneruskan usaha dan akhirnya mudah untuk berputus asa? Allah berikan nikmat pelangi selepas hujan, begitulah nikmatnya setelah kita berjaya menempuh segala ujian.
Istikharah cinta. Bukan untuk dunia semata-mata. Tapi untuk membawa kita kepada kehidupan yang lebih diredhaiNya. Cinta kepada Allah, cinta kepada Sunnah, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada keluarga, dan cinta kepada diri sendiri. Ajal, maut, jodoh dan rezeki itu rahsia Allah. Kita perlu berusaha, kerana semuanya tidak akan jatuh tergolek di depan mata begitu sahaja. Tentangan dan halangan itu untuk menentukan betapa kuatnya kita dalam mengharungi ujian ketakwaan kita terhadapNya. Maka janganlah kita sesekali berputus asa.
Andai tiba masanya, pasti akan terbukti jua. Segala usaha pasti akan terbela. Pastikan niat kita yang sebenarnya, bukan hanya untuk bersuka ria kerana ini adalah untuk selama-lamanya. InsyaAllah. Di antara rahsia perkahwinan kepada seluruh umat ;
1. Perkahwinan dianggap sebagai salah satu daripada sunnah para nabi dan rasul.
2. Kurniaan nikmat Allah kepada hamba-hambaNya agar menerusi perkahwinan akan lahir pula zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa yang akan memakmurkan bumi Allah SWT.
3. Perkahwinan dianggap sebagai suatu ibadah yang dapat menyempurnakan setengah daripada agama seseorang. Dengannya, dia dapat bertemu Allah dalam keadaan suci dan diredhai.
4.Galakan nikah kahwin meliputi semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang miskin. Islam ingin mengikis rasa takut, tidak mampu memikul tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kerana Allah menjamin rezeki mereka.
5. Sebaik-baik jalan untuk memelihara maruah kesopanan diri seseorang.
6. Dapat menyuburkan perasaan keibubapaan dalam memberi perlindungan, pendidikan dan kesejahteraan kepada anak-anak.
7. Melalui perkahwinan wujud disiplin rumahtangga melalui pengagihan tugas suami isteri.
Hadis yang diriwayat daripada Rasulullah SAW,
"Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut kemiskinan maka ia bukanlah daripada golonganku."
Maka terpulanglah kepada hak masing-masing untuk menentukan mana yang terbaik. Nasihat-menasihati antara kaum penting untuk membina masyarakat yang harmoni. Minta petunjuk orang tua, orang yang beragama dan tuntutlah ilmu di mana sahaja. Akhirnya kita berserah kepada yang Maha Esa untuk menentukannya. Kahwin di usia muda atau tua tiada bezanya, tanggungjawab akan tetap ditimbang jua. Apa diarasa hidup seorang tidak akan punya dosa? Sama-sama lah kita fikirkannya. Rezeki ada dimana jua, cuma masa dan tika bukan kita yang menentukannya. Istikharah cinta.
Andai ada khilaf dan salah bicara, saya memohon maaf kerana saya hanya manusia biasa.
Qasrina ♥
0 comments:
Post a Comment