Ape tak pasal-pasal nak cakap pasal khutbah pulak ne? Ye, saya tak pergi pun sembahyang Jumaat ni. Tapi tingkap bilik saya ne terbuka luas untuk dengar khutbah dari Angsana tu. Kalau kat rumah TV tu memang show TV1 la. Dengar khutbah la katakan. Haha Almaklumlah kat rumah saya tu tak ada adik beradik lelaki, kadang-kadang saya pulak jadi mangsa. Abah pernah ajak saya pergi sembayang Jumaat kot. -.-
Sudah merepek.
So, tajuk hari ini ialah MEMBUDAYAKAN HIDUP SIHAT. Mula-mula tajuk ne macam boring. Dalam khutbah pun nak bebel pasal ni kan? Tapi ada satu benda yang menarik perhatian saya untuk mendengar dengan lebih teliti. *padahal sekarang ni tengah study, gagah berhenti mai tulis blog. :P* Nak tahu pasal apa?
Nah, punya semangat nak tahu detail khutbah, saya dengan berbesar hatinya telah men-download khutbah pada minggu ini. -__-"
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“ MEMBUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT ”
(11 MAC 2011/ 6 RABIUL AKHIR 1432 H)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “MEMBUDAYAKAN GAYA HIDUP SIHAT.”
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Umat manusia diciptakan dengan memiliki kelebihan tersendiri berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain kerana ianya dibekalkan dengan akal fikiran dan anggota badan yang sempurna. Kerana kelebihan itulah, menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia untuk menjaga akal fikiran dan anggota badan dengan sebaik mungkin dengan mengamalkan cara hidup yang sihat serta mengelak diri dari melakukan perkara yang memudaratkan. Antara perkara-perkara yang ditegah dan diharamkan oleh Allah SWT terhadap hambanya ialah seperti melakukan perkara yang boleh merosakkan diri, harta benda, kesihatan, kekayaan dan hubungan sesama manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah Ayat 195 :
bermaksud : “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya. ”
Membudayakan gaya hidup sihat berkait rapat dengan kesihatan jasmani dan rohani. Gabungan kesihatan fizikal dan kerohanian akan menentukan prestasi pekerjaan dan tempoh hayat seseorang. Dengan demikian, kesihatan menjadi harta yang amat bernilai dalam kehidupan seseorang. Faktor pemakanan yang berlebihan atau kandungannya yang tidak seimbang sering menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, darah tinggi, penyakit buah pinggang, kanser dan sebagainya. Untuk mengawal keadaan ini ke arah mengekalkan prestasi kesihatan yang lebih baik, maka Islam menggalakkan umatnya bersederhana dalam pengambilan makanan dan minuman.Mengikut pakar perubatan kita digalakkan mengambil banyak sayur sayuran dan buah buahan dan mengelak daripada makanan yang berkolesterol serta lemak yang tinggi. Kita juga perlu memberi perhatian kepada pengambilan gula agar ianya tidak berlebihan dengan memilih makanan dan minuman yang kurang manis.
Muslimin Yang Di Rahmati Allah,
Selain pemakanan, bersukan atau beriadah juga adalah sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya supaya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian dengan Islam. Ini bertepatan dengan saranan Saidina Umar RA yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani dengan katanya yang bermaksud:“Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Seruan ini adalah jelas bahawa Islam meletakkan kepentingan beriadah dalam melatih umatnya dan menjadikan badan mereka sihat dan cergas dan bertepatan dengan pepatah Melayu yang menyebut: “Minda Yang Cerdas Bermula Dari Badan Yang Sihat.”
Gaya hidup sihat dalam Islam juga dapat diperolehi dengan melakukan ibadah-ibadah khusus seperti berwudhuk, bersolat, berpuasa dan sebagainya. Orang Islam digalakkan bersuci dengan berwudhuk dan membersihkan badan. Berwudhuk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk-habuk daripada terus melekat di badan atau di dalam rongga-rongga. Sesungguhnya amalan berwudhuk lima kali sehari ini selari dengan tuntutan ilmu kesihatan.
Namun persoalan besar timbul pada hari ini ialah ramai daripada umat Islam tidak mengambil berat dan mengabaikan apa yang dituntut oleh Islam tentang menjaga kesihatan diri. Ada juga dari kalangan kita yang melakukan perkara-perkara yang ditegah serta diharamkan dalam Islam sehingga menyebabkan boleh merosakan diri sendiri, harta benda dan hubungan sesama manusia. Mereka ini terlibat dalam pengambilan perkara-perkara yang memudaratkan dan haram seperti mengambil minuman beralkohol, meminum arak dan pengambilan dadah. Perkara yang memudaratkan ini sebenarnya memberi kesan kepada kehidupan terutama kepada tubuh badan dan akal fikiran. Rasulullah SAW telah berpesan pada seorang sahabat, Abu Musa al-Asy’ari yang telah bertanyakan kepada Baginda SAW tentang hukum minuman memabukkan yang berasal daripada madu yang diperap, dan minuman memabukkan yang diperah daripada bijirin. Jawab Baginda SAW dengan ringkas:
Maksud :“Setiap yang memabukkan itu adalah haram” (Hadith Riwayat Muslim)
Sebenarnya persoalan dadah sehingga ke hari ini tiada kesudahannya dan ianya masih menjadi bebanan atau liabiliti kepada negara. Banyak wang negara terpaksa diperuntukkan untuk membasmi gejala ini. Sebagai contohnya melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan, pihak Kerajaan telah menubuhkan Pusat Pemulihan Penagih dadah dan yang terbaru dengan Klinik Pulih dan Prihatin 1Malaysia. Kesemuanya ini atas dasar keperihatinan dan rasa tangggungjawab pihak Kerajaan bagi membasmi gejala ini serta memulihkan mereka yang terjebak agar kembali kepada gaya hidup yang sihat.
Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangat besar. Sedarlah, bukan hidup penagih sahaja yang terjejas. Bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih, tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan ketawa riang dari anak-anak dan isteri serta akan di warnai dengan tangisan yang berpanjangan. Kerosakan dadah tidak terkongkong hanya pada seorang individu sahaja, akan tetapi, kerosakan ini akan dirasai oleh ahli keluarga dan siapa yang menyayanginya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara-mara dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya serta akan musnah sesebuah bangsa dan negara.
Muslimin Yang Di Rahmati Allah,
Satu perkara lagi yang membimbangkan kita pada hari ini ialah gejala menghisap rokok dan syisya yang bahan asalnya adalah daripada tembakau. Ramai daripada generasi muda kita pada hari ini terpengaruh dengan tabiat ini. Mimbar ingin menyatakan bahawa tabiat merokok dan syisa tidak memberi faedah kepada kehidupan serta ianya boleh memudaratkan kesihatan. Menurut pakar-pakar perubatan, terdapat 40 penyakit yang dikaitkan dengan merokok dan sebahagian penyakit-penyakit berbahaya tersebut boleh dicegah sekiranya individu tersebut tidak merokok. Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) telah memberi amaran sekiranya tabiat dan budaya ini tidak dapat di ubah maka di jangkakan 10 juta orang di dunia akan mati akibat penyakit berkaitan menjelang 2020.
Mimbar berpesan, sebagai seorang Islam menghisap rokok dan syisya adalah tabiat yang negatif kerana ianya boleh mendedahkan kepada kemudaratan. Menghisap syisya mempunyai banyak persamaan dengan perbuatan menghisap rokok dan ianya boleh mendorong kepada perbuatan mengambil dadah. Mimbar mendapati ramai daripada kalangan remaja termasuk anak-anak gadis tidak segan silu melakukan perbuatan ini di khalayak ramai, mereka seolah-olah merasa bangga dengan cara sebegini dan merasakan kepuasan apabila diri mereka menjadi perhatian. Ada juga yang mencampurkan bahan-bahan yang mengkhayalkan seperti ganja dan dadah.
Mengambil kesempatan sempena peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan yang disambut setiap tahun, mimbar menyeru kepada sidang Jumaat dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga kesihatan diri kita, tubuh badan, akal fikiran dengan mengambil makanan yang berkhasiat, berzat lagi halal dan menjauhkan segala perkara yang memudaratkan serta diharamkan. Mudah-mudahan dengan cara ini hidup yang kita lalui mendapat keberkatan Allah SWT. Ruangkanlah sedikit masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak kita agar hidup mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup mereka dengan solat secara berjamaah, mesrakan hidup mereka dengan makan dan beriadah bersama. Di samping itu berilah sedikit perhatian dengan memastikan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan bila mereka pulang. Didiklah mereka dengan didikan agama, mudah-mudahan mereka sentiasa berada dalam landasan yang benar dan diredai Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7:
Maksud : “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. ”
Paham-paham sendiri lah motif yang ingin disampaikan itu ye? :)
Nota kaki : Lepas ni boleh lah download khutbah tiap-tiap minggu. Tak rugi pon. Tambah ilmu lagi ada la. ^_^